Latar belakang Pertempuran_Otlukbeli

Situasi di Anatolia mula semakin meruap. Empayar Uthmaniyyah telah menguasai sebahagian besar kawasan Anatolia hasil penyatuan negeri-negeri lindungan Turkik. Namun, dinasti Turkik yang lain dikenali sebagai Aq Qoyunlu telah mengukuhkan kedudukannya di timur kerajaan Uthmaniyyah dan kewujudan mereka telah mencetuskan pemberontakan dalam di beylik Turkik. Sultan Aq Qoyunlu iaitu Uzun Hasan sangat bercita-cita dan beliau telah berkahwin dengan anak perempuan Maharaja Empayar Trebizond untuk membentuk satu sekutu. Beliau gagal untuk membantu Trebizond pada tahun 1461 disebabkan oleh konfliknya menentang Empayar Timuriyyah. Kejatuhan Empayar Timuriyyah merupakan salah satu alasan yang menyemarakkan kebencian Uzun Hasan terhadap Sultan Muhammad al-Fatih.

Uzun Hasan memerlukan pelabuhan bagi membolehkannya untuk mengakses perdagangan dengan Eropah. Oleh itu, sasarannya ialah bertumpu kepada wilayah Beylik Karaman. Pada lewat 1460-an, Sultan Muhammad al-Fatih dan Uzun Hasan masing-masing bersaing untuk menempatkan calon mereka bagi merebut takhta beylik. Pada tahun 1471, Sultan Muhammad al-Fatih telah menghantar pasukannya untuk mengambil alih beylik. Uzun Hasan seterusnya bertindak mengadakan pakatan dengan Venezia. Republik yang berpusat di Itali itu berjanji untuk memberikan sokongan dan mengirim senjata serbuk letupan kepada Uzun Hasan bagi memerangi Uthmaniyyah.

Pada tahun 1471, Tentera Laut Venezia menyerang İzmir manakala 20,000 tentera Aq Qoyunlu menyerang dan menceroboh wilayah Karaman. Ketua Ay Qoyunlu menghantar kiriman ke istana Uthmaniyyah untuk menuntut tanah Karaman dan Trebizon tetapi tuntutan tersebut telah ditolak oleh Uthmaniyyah. Sementara itu, senjata serbuk letupan dari Venezia tidak dapat diangkut kepada tentera Uzun Hasan setelah mereka telah ditawan oleh Tentera Laut Uthmaniyyah.